Page List

Friday, 30 December 2022

Kelebihan Solat Berjemaah

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Solat lima waktu yang wajib itu sebaik-baiknya hendaklah dilaksanakan secara berjemaah. Bagi mereka yang mengerjakan solat fardhu dengan berjemaah mendapat kelebihan yang amat besar Sesungguhnya Allah dan Nabi Muhammad menitik beratkan amalan solat secara berjemaah ini. Oleh itu setiap perkara yang dititik beratkan oleh Allah dan Nabinya ada banyak hikmah dan kebaikkannya.

Barangsiapa yang memakmurkan masjid dengan melaksanakan solat secara berjemaah, mempelajari ilmu agama dan sebagainya maka dia adalah orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat, serta termasuk dalam golongan mereka yang mendapat petunjuknya. Allah SWT berfirman dalam surah At-Taubah ayat 18 yang maksudnya:

"Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk."

Allah SWT juga Juga berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 43 yang maksudnya:

“Dan dirikanlah kamu akan solat dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk”.

Banyak sungguh ganjaran pahala yang diberikan oleh Allah SWT kepada mereka yang melaksanakan solat secara berjemaah contohnya seperti Rasulullah SAW bersabda yang ertinya:

"Solat secara berjemaah (ganjarannya) melebihi solat (secara) berseorangan, dengan (diberi ganjaran sebanyak) dua puluh tujuh darjat". (Hadis Riwayat Imam Al-Bukhari)

Juga barangsiapa yang solat secara berjemaah maka akan diampunkan dosa-dosanya. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Barangsiapa berwudhu untuk solat, lalu menyempurnakan wudhunya, kemudian berjalan menuju solatnya yang fardhu, lalu dia melaksanakannya bersama manusia, atau bersama jama'ah, atau di masjid, nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosanya.".(Hadis Riwayat Muslim)

Maksud dosa-dosa di sini adalah dosa-dosa kecil, kerana dosa-dosa besar memerlukan kepada taubat nasuha.

Marilah kita bersama2 solat berjemaah di masjid ataupun di surau.

والله أعلمُ بالـصـواب

No comments:

Post a Comment