Page List

Monday, 7 April 2025

Ada Kelebihan Mati Malam Jumaat / Hari Jumaat?

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Alhamdulillah dan syukur byk2 kpd Allah SWT dimurahkan rezeki dan rahmat dalam kita menjalani kehidupan seharian. Selawat dan salam kpd junjungan kita Nabi Muhammad SAW, keluarganya, beserta sahabat. Semoga kita semua mendapatkan syafaatnya, dan mendapat petunjuk hingga hari akhirat nanti.

"Kematian yg baik atau husnul khatimah bergantung kpd amalan2 kita semasa hidup dan bukannya bergantung pada hari apa kita meninggal dunia"


Kematian yg baik atau husnul khatimah bergantung kpd amalan2 kita semasa kita hidup dan bukannya bergantung pada hari apa kita meninggal dunia
Tujuan saya berkongsi article ini petikan dari Irsyad Al-Hadith Siri Ke-59 Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan adalah untuk membetulkan tanggapan masyarakat yg tidak tepat yg mengatakan jika mati pada malam Jumaat atau hari Jumaat akan mendapat kelebihan. Ini pendapat yg tidak benar disebabkan tiada sebarang hadis yg sahih yg menyokongnya.

MATAN HADITH

Berikut adalah hadith-hadith yang berkaitan dengan mati pada hari jumaat atau malam Jumaat:

Hadith Pertama:

Diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ مَاتَ يَوْمَ الجُمُعَةِ أو لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ وُقِيَ فِتْنَةَ القَبْرِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mati pada hari Jumaat atau malam Jumaat akan dibebaskan daripada fitnah (azab) kubur”. [Musnad Ahmad, no. Hadith 6359]

Hadith Kedua:

Diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَمُوْتُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَو لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ إلَّا وَقَاهُ اللَّهُ فِتْنَةَ القَبْرِ

Maksudnya: “Tidak ada seorang muslim yang mati pada hari Jumaat atau malam Jumaat melainkan dibebaskan oleh Allah SWT daripada fitnah (azab) kubur”. [Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 994]

Hadith Ketiga:

Diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ مَاتَ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ أَوْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أُجِيْرَ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ وَجَاءَ يَوْمَ القيامةِ وَعَلَيْهِ طَابِعُ الشُّهَدَاءِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mati pada malam Jumaat atau hari Jumaat akan dibebaskan daripada azab kubur dan akan datang di hari Kiamat dan padanya tanda sebagai seorang yang syahid”. [Hilyah al-Awliya’, 3:181]

Hadith Keempat:

Diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ مَاتَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَوْ لَيْلَتَهَا غُفِرَ لَهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mati pada hari Jumaat atau malamnya diampunkan (dosa) baginya”. [Mizan al-I’tidal, 4:299]

HUKUM HADITH

Hadith yang pertama: Hukum hadith ini dihukum hasan dengan kesemua jalurnya (sanad) oleh al-Albani di dalam karyanya Ahkam al-Jana’iz. Syeikh Syu’aib al-Arnout mengatakan sanad pada hadith ini dhaif (lemah) dan syawahid yang ada untuk menyokong hadith ini adalah tidak boleh dan sesuai untuk dijadikan syawahid. Selain itu, beliau mengatakan bahawa al-Albani telah tersalah di dalam menghukum terhadap hadith ini kerana mengikut al-Mubarakfuri di dalam Tuhfah al-Ahwazi. [Lihat: Musnad Ahmad, 11:150]

Hadith yang kedua: Imam al-Tirmizi menghukum hadith ini sebagai Gharib (ganjil) dan sanad yang ada pada hadith ini tidak bersambung. Begitu juga, al-Hafiz Ibn Hajar mengatakan bahawa pada sanad hadith ini adalah dhaif. [Lihat: Fath al-Bari, 3:253]

Hadith yang ketiga: Imam Ibn al-Qayyim menghukum hadith ini sebagai dhaif kerana padanya perawi bernama Umar bin Musa dan dia adalah seorang yang dhaif. [Lihat: al-Ruh, 81]. Syeikh Syu’aib al-Arnout mengatakan berkaitan hadith Jabir ini, telah berkata Abu Hatim bahawa Umar bin Musa seorang yang lupa akan hadith dan juga memalsukan hadith. Selain itu, al-Daraqutni dan al-Nasa’ie menghukumnya sebagai Matruk (riwayatnya ditinggalkan). Tambahan pula, Ibn ‘Adiy mengatakan Umar bin Musa merupakan seorang yang memalsukan hadith pada matan dan juga sanad. [Lihat: Musnad Ahmad, 11:150]

Hadith yang keempat: Imam al-Zahabi menghukum riwayat (hadith) ini sebagai mungkar. [Lihat: Mizan al-I’tidal, 4:299]

TARJIH (KESIMPULAN)

Berdasarkan hukum-hukum hadith yang kami nyatakan di atas, kami memilih dan cenderung untuk mengatakan bahawa TIADA HADITH YANG SAHIH dalam menceritakan akan kelebihan orang yang meninggal pada hari Jumaat atau malam Jumaat. Tambahan pula, kami nyatakan di sini bahawa barangsiapa yang meninggal pada hari Jumaat atau malam Jumaat menunjukkan bahawa orang tersebut memperoleh husnul khatimah (pengakhiran yang baik).


Tuan2 / puan2 sekalian yg dirahmati Allah, kematian yg baik atau husnul khatimah adalah bergantung kpd amalan2 kita semasa kita hidup dan bukannya bergantung pada hari apa kita meninggal dunia.

Mari renung sejenak ... Nabi SAW wafat pada hari Isnin dan bukannnya hari Jumaat. Oleh itu adalah lebih baik jika kita terus beramal soleh daripada memikirkan kelebihan mati pada hari Jumaat yg tiada satu pun hadis sahih menyokonhnya.

Diharap perkongsian ini membawa manfaat dan kita semua sentiasa di dalam redha Allah SWT. Aaminn.

والله أعلمُ بالـصـواب

Rujukan:
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (2016). Irsyad Al-Hadith Siri Ke-59: Kelebihan Mati Pada Hari Jumaat.

No comments:

Post a Comment