
Tuesday, 8 September 2026
Jasad Tak Reput Bukan Bukti Agamanya Benar
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Alhamdulillah dan syukur byk2 kpd Allah SWT dimurahkan rezeki dan rahmat dalam kita menjalani kehidupan seharian. Selawat dan salam kpd junjungan kita Nabi Muhammad SAW, keluarganya, beserta sahabat. Semoga kita semua mendapatkan syafaatnya, dan mendapat petunjuk hingga hari akhirat nanti.
Perkuburan Baqi di Madinah berhampiran Masjid Nabawi
ADA yang berhujah bahawa tubuh sesetengah tokoh agama yang meninggal dunia tidak reput walaupun telah berlalu puluhan atau ratusan tahun. Ada juga jasad yang ditemui dalam keadaan masih terpelihara, khususnya mereka yang meninggal dunia di kawasan bersalji, gunung-ganang atau tempat suhu amat rendah.
Persoalannya, apakah keadaan itu boleh dijadikan bukti bahawa agama yang dianuti oleh tokoh berkenaan adalah benar?
Jawapannya: Tidak semestinya.
Dalam perbahasan akidah Islam, kejadian luar biasa perlu dilihat berdasarkan siapa yang mengalaminya dan dalam keadaan bagaimana ia berlaku. Sesuatu perkara yang luar daripada kebiasaan tidak secara automatik membuktikan seseorang itu benar atau agamanya benar.
Para ulama membahagikan perkara luar biasa kepada beberapa keadaan. Jika ia berlaku kepada nabi sebelum dilantik sebagai nabi, ia disebut irhas. Selepas kenabian, jika disertai cabaran kepada golongan yang menentang, ia disebut mukjizat. Jika tidak disertai cabaran, ia termasuk dalam kategori ayat atau tanda kebesaran Allah.
Bagi orang beriman pula, kejadian luar biasa yang berlaku kepada para wali dan orang soleh dikenali sebagai karamah. Bagi orang biasa yang beriman, ia boleh menjadi maunah iaitu pertolongan Allah yang berlaku secara luar biasa.
Sebaliknya, jika perkara luar biasa berlaku kepada orang kafir atau pelaku maksiat, ia tidak boleh terus dianggap sebagai tanda kemuliaan. Dalam perbahasan ulama, keadaan seperti ini boleh termasuk dalam istidraj iaitu seseorang diberikan sesuatu kelebihan atau kesenangan sehingga dia semakin jauh daripada Allah.
Maka, ukuran utama bukanlah semata-mata kejadian luar biasa yang berlaku kepada seseorang, tetapi iman, akidah, ketakwaan dan kehidupannya.
Sebagai contoh, mayat yang berada di kawasan bersuhu di bawah takat beku secara tabii boleh mengalami proses pereputan yang sangat perlahan. Faktor suhu, kelembapan, persekitaran dan keadaan tempat penyimpanan sememangnya mempengaruhi proses pereputan jasad.
Justeru, keadaan jasad yang masih kelihatan terpelihara tidak semestinya suatu perkara yang bertentangan dengan hukum alam. Begitu juga mayat yang disimpan dalam keadaan tertentu seperti peti mayat atau persekitaran yang menghalang proses pereputan.
Firaun Kufur Tapi Tak Reput.
Bagaimana pula jika jasad yang tidak reput itu dikaitkan dengan tokoh agama yang dianggap suci?
Dalam sesetengah tradisi keagamaan, keadaan tersebut mungkin dianggap sebagai tanda kesucian atau kebesaran Tuhan. Namun, daripada perspektif Islam, kita tidak boleh menjadikan keadaan jasad semata-mata sebagai ukuran kebenaran sesuatu agama.
Jika seseorang itu berada dalam kekufuran terhadap Allah dan Rasul-Nya, kejadian luar biasa yang berlaku kepadanya tidak mengubah hakikat kekufurannya.
Al-Quran memberikan contoh yang jelas melalui kisah Firaun. Firaun manusia yang kufur dan menentang Nabi Musa AS. Namun, Allah SWT menyelamatkan jasadnya sebagai tanda dan pelajaran kepada manusia selepasnya.
Perhatikan di sini - jasad Firaun dipelihara, tetapi akidah Firaun tetap kufur.
Maka, jika kita menggunakan kaedah 'jasad tidak reput bermakna agama benar', kita akan berhadapan dengan persoalan besar iaitu apakah dengan jasad Firaun yang dipelihara itu bermakna akidah Firaun benar? Sudah tentu tidak.
Inilah sebabnya kejadian luar biasa tidak boleh dijadikan dalil utama untuk menentukan kebenaran sesuatu agama. Ia hanya boleh menjadi penguat kepada sesuatu yang telah terbukti kebenarannya melalui wahyu dan dalil yang sahih.
Jangan Terima Hanya Kerana Ajaib.
Islam tidak mengajar manusia menerima sesuatu hanya kerana ia kelihatan ajaib. Bahkan Islam mengajar kita menggunakan akal yang sihat, berpandukan wahyu dan melihat sesuatu perkara berdasarkan konteksnya.
Manusia juga perlu berhati-hati daripada membuat kesimpulan berdasarkan cerita yang belum disahkan. Kadangkala sesuatu kisah tersebar melalui media sosial tanpa maklumat tentang lokasi, usia jasad, keadaan tanah, suhu, kelembapan atau kaedah pemeriksaan. Gambar yang kelihatan meyakinkan pula boleh diambil selepas jasad dipindahkan, dibersihkan atau dirawat dengan kaedah tertentu.
Oleh itu, dakwaan seperti ini perlu diteliti dengan adil. Kita tidak wajar menolak semua kemungkinan alamiah, tetapi kita juga tidak boleh menafikan kekuasaan Allah. Sikap yang benar ialah mengakui bahawa Allah berkuasa melakukan apa sahaja, sambil menilai sesuatu dakwaan berdasarkan bukti yang kukuh dan penjelasan yang munasabah.
Hakikatnya, ilmu manusia sangat terbatas. Apa yang belum mampu dijelaskan oleh akal atau ilmu pengetahuan hari ini tidak semestinya bercanggah dengan kekuasaan Allah SWT. Namun perkara yang belum diketahui juga tidak boleh terus dijadikan bukti bahawa sesuatu dakwaan agama itu benar.
Kebenaran agama tidak dibina atas satu fenomena yang boleh ditafsirkan dengan pelbagai cara. Kebenaran Islam berdiri atas wahyu, tauhid, kesahihan risalah Nabi Muhammad SAW, mukjizat al-Quran dan hujah yang menyeluruh. Semua itu perlu difahami melalui ilmu, penelitian dan kejujuran, bukan semata-mata melalui rasa kagum terhadap perkara pelik.
Mukjizat, Karamah atau Istidraj.
Kesimpulannya, jasad yang tidak mereput bukan bukti mutlak kebenaran sesuatu agama dan bukan juga bukti seseorang itu seorang wali. Kejadian luar biasa perlu dinilai berdasarkan akidah dan keadaan individu tersebut.
Bagi seorang nabi, ia boleh menjadi mukjizat. Bagi orang soleh, ia boleh menjadi karamah. Namun, bagi orang kafir, ia boleh menjadi istidraj atau sekadar fenomena yang berlaku menurut sebab-sebab tertentu.
Perkara yang menjadi ukuran utama tetaplah kebenaran wahyu, ketepatan akidah dan kesahihan risalah yang dibawa oleh sekalian nabi.
Jangan kerana melihat sesuatu yang luar biasa, kita terus menganggapnya sebagai bukti kebenaran. Sebaliknya, jadikan setiap kejadian sebagai ruang untuk mengenali kebesaran Allah SWT, menambah ilmu, memperbaiki iman dan menyedari betapa terbatasnya pengetahuan manusia.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat kpd semua dan kita sentiasa di dalam rahmat dan redha Allah SWT. Aaminn.
والله أعلمُ بالـصـواب
Rujukan: Ustaz Hafiz Al-Za’farani - September 3, 2026, Berita Harian Online.

Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment