Page List

Wednesday, 18 September 2024

Solat Sunat Witir

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Kalimah witir membawa maksud ganjil. Ini disebabkan bilangan rakaatnya yg ganjil di mana solat ini diakhiri dengan satu rakaat untuk menjadikannya bilangannya ganjil. Contoh bilangan rakaat 1, 3, 5, 7, 9, atau 11 rakaat.

Solat witir merupakan antara ibadah yg sangat digalakkan kepada setiap umat Islam. Ini dapat dilihat berdasarkan beberapa riwayat yang menceritakan tentang anjuran dan galakan melakukan solat ini. Antaranya berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A seperti ini:

أَوْصَانِي خَلِيلِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلاَثٍ: صِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَيِ الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ

Maksudnya: Kekasihku (Rasulullah S.A.W) berwasiat kepadaku supaya melakukan tiga perkara iaitu: Berpuasa tiga hari pada setiap bulan, dua rakaat Dhuha dan melakukan solat witir sebelum tidur.
Sahih Al-Bukhari, hadis no. 1981. [1]

Juga terdapat sebuah hadis yg lain yg diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

اجْعَلُوا آخِرَ صَلاَتِكُمْ بِاللَّيْلِ وِتْرًا

Maksudnya: Jadikanlah solat witir sebagai solat terakhir kamu pada waktu malam.
Sahih Al-Bukhari, hadis no. 998. [2]

Waktu Solat Sunat Witir

Waktu mengerjakan solat sunat witir ialah sepanjang malam, iaitu selepas menunaikan solat fardu Isyak sehinggalah menjelang sebelum masuk waktu solat fardu Subuh.

Niat Solat Sunat Witir

Contoh niat adalah seperti berikut.

"Sahaja aku solat sunat witir { satu / dua } rakaat kerana Allah Taala".

Contoh jika seseorang mahu solat 5 rakaat maka beliau mungkin boleh melakaukannya dgn cara sebegini: Solat 2 rakaat & salam, Solat lagi 2 rakaat & salam dan akhir sekali solat 1 rakaat & salam.

Jika menjadi imam semasa solat witir ini, bacaan surah Al-Fatihah dan surah selepasnya hendaklah secara jahriyyah (Jahr) yg bermaksud sunat untuk diperdengarkan.

Nota penting:
  • Segala rukun solat termasuk rukun qauli wajib disempurnakan untuk solat sumat witir ini.
  • Tiada surah spesifik untuk solat sunat witir ini. Bacalah surah yg termampu.

Semoga perkongsian ini membawa manfaat kpd kita semua dan sentiasa di dalam redha Allah SWT. Aaminn.

والله أعلمُ بالـصـواب

Rujukan:
[1] Sahih Al-Bukhari. Terjemahan Oleh Dr. Muhammaed Muhsin Khan (1997). Vol. 3, Hadis #1981, Thee Book of As-Saum, ms. 124. Darussalam Publishers and Distributors.
[2] Sahih Al-Bukhari. Terjemahan Oleh Dr. Muhammaed Muhsin Khan (1997). Vol. 2, Hadis #998, Thee Book of Witr, ms. 79. Darussalam Publishers and Distributors.

Monday, 16 September 2024

Mengenali Akhlak Rasulullah SAW

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Salam Maulidur Rasul untuk semua hari ini 12 Rabiul Awal 1446H.

{ وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِیمࣲ }
"𝘋𝘢𝘯 𝘣𝘢𝘩𝘢𝘸𝘢 𝘴𝘦𝘴𝘶𝘯𝘨𝘨𝘶𝘩𝘯𝘺𝘢 𝘦𝘯𝘨𝘬𝘢𝘶 𝘮𝘦𝘮𝘱𝘶𝘯𝘺𝘢𝘪 𝘢𝘬𝘩𝘭𝘢𝘬 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘢𝘮𝘢𝘵 𝘮𝘶𝘭𝘪𝘢" (𝘈𝘭-𝘘𝘢𝘭𝘢𝘮 : 4)

Mari kita mengenali akhlak Rasululullah ﷺ.
  • Baginda selalu diam.
  • Berbicara ketika perlu.
  • Perbicaraannya fasih, ringkas tetapi padat.
  • Menghadapkan seluruh tubuhnya bila berbicara dengan seseorang.
  • Hatinya selalu sedih (inginkan umat dalam kebaikan dan terlepas dari azab الله swt).
  • Selalu menundukkan pandangan kerana tawaddu’.
  • Berfikir terus-menerus.
  • Menghargai nikmat sekecil apa pun tanpa memperlekehkannya.
  • Tidak pernah mencela makanan. Apabila suka, Baginda akan makan. Jika tidak, ditinggalkannya tanpa mencelanya.
  • Tidak pernah marah yang ada kaitan dengan urusan dunia.
  • Marah bukan kerana nafsu.
  • Apabila kebenaran dipermainkan, Baginda akan bangkit untuk berusaha mempertahankannya.
  • Apabila marah Baginda akan memalingkan muka.
  • Apabila suka Baginda akan memejamkan mata.
  • Tidak pernah berkata kotor, berbuat keji dan melampaui batas.
  • Tidak pernah berteriak-teriak di pasar.
  • Tidak pernah membalas kejahatan dengan kejahatan. Malah Baginda memaafkan & berlapang dada.
  • Tangan Baginda tidak pernah memukul selain untuk berjihad dijalan الله swt.
  • Apabila menghadapi dua perkara Baginda memilih yang paling mudah selagi ia bukan dalam perkara maksiat.
  • Di rumah, Baginda adalah manusia biasa yang membasuh pakaian, memerah susu & membuat sendiri segala keperluan diri.
  • Ketika duduk atau pun berdiri, Baginda selalu berzikir.
  • Raut wajahnya selalu ceria, perangainya dapat dicontohi dengan mudah, lemah lembut & peramah.
  • Tidak pernah bersikap keras dan bertindak kasar, berteriak-teriak, lebih-lebih lagi mencela orang lain.
  • Tiga perkara yang dijauhi; perselisihan, bongkak & segala yang tidak diperlukan.
  • Tidak pernah mencela & memaki hamun orang lain.
  • Tidak pernah mencungkil rahsia orang lain.
  • Tidak pernah berbicara kecuali sesuatu yang menjanjikan pahala.
  • Perbicaraannya memukau sesiapa pun yang mendengarnya lalu terpegun seolah-olah ada burung melintas di atas kepala mereka.
  • Sesiapa yang melihat Baginda sepintas lalu akan merasa gerun & hormat terhadapnya.
  • Sesiapa yang selalu bergaul & telah dekat mengenali Baginda, akan menyayanginya sepenuh jiwa raga.
  • Baginda pasti memberi tempat kepada orang yang ingin duduk & tidak membezakan di kalangan mereka.
  • Sesiapa yang meminta sesuatu, pasti dipenuhinya atau jika sebaliknya ditolak dengan tutur kata yang lemah lembut.
  • Tangan Baginda selalu terbuka kepada sesiapa sahaja tanpa pilih kasih. Baginda adalah ayah bagi mereka semua.
  • Di mana pun Baginda berada, di situ terpancar cahaya ilmu, sikap malu & sabar serta amanah.
  • Tidak ada yang berani meninggikan suara di hadapan Baginda kerana kewibawaan Baginda.
  • Semua mengakui keutamaannya kerana ketaqwaannya ; menghormati orang tua, menyayangi yang kecil, mengutamakan orang yang ada hajat, menjaga keperluan & kebajikan orang asing.
  • Tidak terus memotong percakapan orang lain. Jika ingin memotong, Baginda hentikan dahulu atau pun berdiri.
  • Paling berlapang dada.
  • Paling tepat dalam berbicara.
  • Paling halus keperibadiannya.
  • Paling ramah & beradab dalam pergaulan & muamalahnya.

Semoga perkongsian ini membawa manfaat untuk semua.

والله أعلمُ بالـصـواب

Rujukan:
Dipetik daripada Biografi Lengkap Rasulullah saw oleh Dr Sayyid Muhammad bin Alawi Al Maliki.

Friday, 13 September 2024

Seseorang Akan Bersama Dengan Orang Dicintainya

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Perkongsian kali ini adalah hadis yg berkaitan dgn orang yg akan bersama dgn orang yg dia cintai. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari dari Abu Musa Al-Asy’ari radhiyallahu ‘anhu, bahawa seseorang bertanya kepada Rasulullah ﷺ:

الرَّجُلُ يُحِبُّ القَوْمَ ولَمَّا يَلْحَقْ بهِمْ؟

Maksudnya: "Seseorang mencintai suatu kaum, tetapi dia tidak bisa menyamai mereka?

Lalu Rasulullah ﷺ bersabda:

المَرْءُ مع مَن أحَبَّ

Maksudnya: "Seseorang akan bersama dengan orang yang dicintainya".
Sahih Bukhari: Hadis no. 6170. [1]

Juga terdapat hadis daraipada Sahih Muslim seperti berikut ...

قِيلَ لِلنَّبِىِّ صلى الله عليه وسلم الرَّجُلُ يُحِبُّ الْقَوْمَ وَلَمَّا يَلْحَقْ بِهِمْ قَالَ الْمَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ

Yang maksudnya: Ada seorang lelaki yg berkata pada Nabi SAW, ‘Ada seseorang yang mencintai beberapa orang, namun dia tidak pernah berjumpa dengan mereka.’ Nabi SAW lantas bersabda, ‘Setiap orang akan dikumpulkan bersama orang yang ia cintai’.
Sahih Muslim no: 2640. [2]

Pengajarandari hadis2 di atas:

  • Orang yang "mencintai" seseorang akan sentiasa bersama dengan orang yang "dicintai". Disyorkan untuk kita memilih teman yang soleh.
  • Cintailah orang yang soleh kerana seseorang akan dibangkitkan di hari kiamat bersama dengan orang yang dicintai.
  • Cinta kepada Rasulullah SAW adalah dengan sentiasa mencontohi, mengikuti dan mentaati perintah dan larangan. Perbuatan tersebut akan menatijahkan kecintaan Rasulullah SAW kepada kita walaupun kita tidak pernah menemui baginda.
  • Rabiul Awal, bulan yang mengingatkan kita kepada kelahiran Nabi Muhammad SAW. Marilah kita menunjukkan kecintaan kepada Nabi SAW. Dalam kita membina kehidupan di negara tercinta ini, kita mengharapkan kebahagiaan hidup ini bukan hanya di dunia malah juga di akhirat nanti. Justeru jadikanlah Rasul serta orang-orang soleh sebagai qudwah untuk kita contohi dan cintai. Moga kita akan bersama mereka di Syurga nanti. Aaminn.

Bagaimana kita menunjukkkan kita mencintai Rasulullah SAW? Sila baca Mencintai Rasulullah SAW.

Semoga kita semua mendapat manfaat dgn perkongsian ini.

والله أعلمُ بالـصـواب

Rujukan:
[1] Sahih Al-Bukhari. Terjemahan Oleh Dr. Muhammaed Muhsin Khan (1997). Vol. 8, The Book of Al-Adab, Hadis #6170, ms. 110. Darussalam Publishers and Distributors.
[2] Sahih Muslim. Terjemahan Oleh Nasiruddin al-Khattab Canada (2007). Vol. 6, Book of Al-Birr, ms. 501, Hadis #2640. Darussalam Publishers and Distributors.